OPR dijangka kekal tiga peratus pada 2019 - Utusan Malaysia

OPR dijangka kekal tiga peratus pada 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mei – MIDF Research menjangkakan tiada perubahan pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk baki sepanjang tahun ini dengan unjuran tekanan lebih rendah daripada bahagian domestik dan luar negara.

Katanya, selagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal pada kadar lebih empat peratus dan teras indeks harga pengguna (CPI) kekal positif, tidak ada lagi perubahan dalam pendirian monetari dijangkakan atau diperlukan pada peringkat ini.

“Tambahan pula, semalam Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah mengesahkan pendirian mereka untuk mengekalkan kadar dana sedia ada sehingga akhir 2019,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata, langkah diambil oleh Bank Negara Malaysia hari ini untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan mendorong peningkatan pelaburan dan aktiviti penggunaan domestik pada 2019 terutamanya pada separuh kedua tahun ini.

Sehubungan itu, ia mengekalkan anggarannya bagi pertumbuhan KDNK 2019 pada 4.9 peratus berikutan aktiviti ekonomi kekal kukuh berdasarkan kadar pengangguran ketika ini yang mencerminkan pekerjaan penuh, indeks pengeluaran perindustrian (IPI) stabil dan prestasi perdagangan secara menyeluruh. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×