KUALA LUMPUR 30 Mei – Hari pertama Op Selamat yang bermula semalam menyaksikan 13 kemalangan maut dengan 15 kematian.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, menerusi statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah kematian tersebut, lima daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala empat lagi ialah pemandu dan penumpang kereta.
“Selangor dan Sarawak masing-masing mencatatkan empat kematian akibat kemalangan jalan raya, Pahang dan Kelantan (2) dan satu di Kedah, Perak serta Sabah,” kata kenyataan itu.
Menurut Asmawati, sebanyak 22,058 saman jalan raya atas pelbagai kesalahan dikeluarkan melibatkan 309 operasi yang dijalankan di seluruh negara.
Jelasnya, saman tertinggi dikeluarkan oleh EMPV Bukit Aman, jumlah 5,763 diikuti Selangor (3,311), Perak (2,149) dan Johor sebanyak 1,698 saman.
Tambahnya, jenayah pecah rumah atau premis yang dicatatkan pada hari pertama Op Selamat 15 di seluruh negara ialah 44 kes. – UTUSAN ONLINE










