BRUSSELS 15 Mei – Bintang bola sepak Brazil, Neymar menang kes saman di Mahkamah Kesatuan Eropah (EU) ke atas seorang ahli perniagaan yang didakwa cuba menggunakan nama pemain termahal dunia itu bagi tujuan komersil dan hak cipta.
Tertuduh, Carlos Moreira didapati bersalah kerana dianggap mempunyai tujuan tidak baik ketika menjadikan Neymar sebagai satu jenama bagi produk baju, kasut dan topi keluarannya pada 2012.
Mahkamah juga menolak hujah Moreira yang memberi alasan tidak mempunyai pengetahuan tentang pemain bola sepak tersebut dan hanya mengambilnya kerana tertarik dengan sebutannya ketika menggunakan jenama Neymar.
“Mahkamah ini mengekalkan keputusan Mahkamah Hak Cipta EU sebelum ini bahawa Moreira telah bertindak dengan tujuan yang tidak baik apabila dia memohon untuk mendaftarkan nama NEYMAR sebagai jenama produknya,” kata mahkamah itu.
Sebagai rekod, Neymar memfailkan permohonan di mahkamah pada 2016 untuk mencabar tindakan ahli perniagaan dari Portugal itu yang masih berkeras menggunakan namanya untuk didaftarkan sebagai satu jenama.
Ini menyebabkan Moreira merayu kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi kerana mendakwa ketika mendaftarkan nama itu untuk mendapatkan hak cipta, beliau tidak tahu ada seorang pemain memiliki nama tersebut.
Sedangkan Neymar setahun sebelum itu telah diumumkan sebagai pemain terbaik Amerika Selatan pada 2011 dan namanya mula menjadi buruan kelab ternama Eropah sebagai antara bintang yang bakal menyinar.
Ini sekaligus menyebabkan Mahkamah EU menolak sama sekali faktor cetek pengetahuan tentang nama Neymar yang diberikan Moreira dalam mahkamah. – AFP











