DALAM usaha membuka peluang penjanaan ekonomi baharu kepada komuniti Orang Asli, MRA International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM), baru-baru ini melancarkan Projek Pendidikan-Pertanian Cendawan Tiram Kelabu di Kampung Bukit Tampoi Asli, Dengkil, Selangor.
Projek rintis yang dilaksanakan dalam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi Asli itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mampan penerima manfaat yang disasarkan selain memberi pendedahan ilmu pertanian baharu kepada mereka.
Pengarah Bahagian ‘Partner Care’ IRM, Kamarul Halim Sakrani berkata, projek itu diharap mampu memberi manfaat kepada semua termasuk kanak-kanak bagi mempelajari ilmu atau bidang baharu.
“Projek Pendidikan-Pertanian Cendawan Tiram Kelabu ini bukan sahaja disasarkan untuk warga dewasa Orang Asli, malahan diharap dapat menarik minat dan semangat murid SK Bukit Tampoi Asli untuk hadir ke sekolah dengan adanya persekitaran baharu yang lebih menarik,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Tampoi Asli, Siti Saadah Mukrim berkata, untuk memajukan generasi muda harus disertakan dengan kerjasama dan sokongan ibu bapa agar lebih berdaya saing.
“Pemilihan tanaman cendawan tiram kelabu ini dilaksanakan kerana tumbuhan ini menjadi hidangan yang semakin popular dan digemari masyarakat serta banyak ditanam secara komersial seluruh dunia.
“Keenakan rasanya yang tersendiri ditambah dengan khasiat kandungan protein, serat, vitamin E, selenium, zat besi, kalsium dan magnesium menambahkan lagi nilai tambah kepada permintaan sayuran ini di pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, bagi peserta perusahaan cendawan tiram, Hardi Epok, walaupun baru menceburi sektor pertanian, namun dia yakin mampu melangkah jauh dan berjaya dalam bidang tersebut.
“Saya rasa sangat gembira dapat menyertai program ini. Bagi saya, peluang keemasan jangan ditolak kerana ia hanya datang sekali sahaja. Tanaman cendawan merupakan sesuatu yang baharu bagi komuniti saya namun ia mampu membawa kami melangkah jauh ke depan,” katanya.
Dia turut berharap projek dapat diteruskan dalam skala lebih besar agar menjadi platform untuk komuniti Orang Asli memajukan diri dan ekonomi keluarga seterusnya merapatkan hubungan semua pihak yang terlibat. – UTUSAN ONLINE











