Mitsui labur dalam Axiata Digital, tingkatkan penilaian perniagaan kepada AS$500 juta - Utusan Malaysia

Mitsui labur dalam Axiata Digital, tingkatkan penilaian perniagaan kepada AS$500 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – Mitsui & Co, satu daripada syarikat dagangan terbesar di Jepun membuat pelaburan minoriti strategik dalam cabang perkhidmatan digital Axiata Group Bhd, Axiata Digital Sdn. Bhd. (AD), yang memberikan pra-nilai enterprais berjumlah AS$500 juta (RM2 bilion) kepada perniagaan digital teras AD.

Ketua Pegawai Eksekutif AD, Mohd Khairil Abdullah berkata Mitsui akan menjadi pemegang saham dan rakan niaga strategik dalam perniagaan teras AD.

Perniagaan digital terasnya termasuklah Boost, perkhidmatan e-dompet; analytics.data.advertising (ada), agensi digital bebas terbesar di rantau ini; dan Apigate, penyedia platform antara muka program aplikasi global baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dana yang diperoleh akan diperuntukkan bagi menjana fasa pertumbuhan seterusnya untuk perniagaan teras AD,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian pelaburan antara Axiata Group Bhd dan Mitsui & Co, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut antara Mohd. Khairil, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, dan Masahiro Moriyasu, pegawai pengurus dan ketua pegawai operasi unit perniagaan teknologi dan komunikasi maklumat Mitsui.

Mohd Khairil berkata pelaburan itu bukan sahaja membawa sumber kewangan kepada AD untuk mengembangkan perniagaannya tetapi juga membawa aset strategik ke dalam portfolio syarikat.

“Dengan pelaburan daripada Mitsui, kami berharap dapat terus meningkatkan perniagaan ini di samping terus memberi tumpuan kepada inovasi kewangan yang berbeza bagi pengguna, data dan kandungan kreatif untuk jenama, serta menyediakan pertumbuhan pesat dan penjanaan wang bagi rakan kongsi di platform kami,” katanya.

Terdahulu, Moriyasu dalam ucapannya berkata AD adalah platform digital yang kukuh terlibat dalam perkhidmatan kewangan digital, aplikasi antara muka pengaturcaraan dan pemasaran digital.

“Dengan meningkatkan kerjasama erat dengan AD, kami yakin kami dapat menyokong rakan kongsi dan pelanggan kami untuk mencipta nilai baru dan mempercepat transformasi digital mereka dalam pelbagai industri,” katanya.

Minggu lepas, AD memeterai perjanjian untuk menjual portfolio usaha niaga digitalnya bernilai AS$140 juta (RM580 juta) kepada dana pelaburan Singapura, Pegasus 7 Ventures.

Digabungkan dengan penilaian ekuiti pra-wang untuk perniagaan digital teras AD, keseluruhan portfolio bernilai AS$640 juta (RM2.6 bilion) – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini