DUNGUN 10 Mei – Mayat pemancing terakhir yang hilang dalam tragedi bot karam di perairan dekat Pulau Tenggol kelmarin, ditemukan malam tadi kira-kira 30 batu nautika dari perairan Kerteh, Kemaman.
Mayat Chong Yuen Khang, 36, ditemukan terapung oleh bot nelayan tempatan kira-kira pukul 7.30 malam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid, sebelum itu, bot nelayan yang melalui perairan itu ternampak objek terapung sebelum mendapatinya mayat manusia lalu bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Beliau memberitahu, mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di perairan itu.
“Maritim Malaysia yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu segera menghantar sebuah kapal ke lokasi dan mayat itu diserahkan oleh pihak TLDM kepada pihak kami (Maritim Malaysia).
“Sebaik kami tiba di jeti Pengkalan Maritim Kemaman pukul 6.18 pagi, mayat itu diserahkan pula kepada pihak polis dan polis mengesahkannya mayat pemancing terakhir yang dicari,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, sebuah bot nelayan yang disewa sekumpulan lima pemancing Cina dibadai ribut dan ombak besar sebelum karam di perairan berdekatan Pulau Tenggol.
Turut berada di dalam bot itu ialah tiga nelayan tempatan termasuk seorang tekong namun mereka bertiga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Beberapa jam kemudian, tiga daripada pemancing terbabit pula berjaya diselamatkan namun dua lagi rakan mereka iaitu Chan Kai Wai, 51, ditemukan mati lemas manakala Yuen Khang hilang sebelum ditemukan malam tadi.
Tiga pemancing yang terselamat itu ialah Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28; dan Tan Buck Choon, 51, (warga Singapura).
Manakala tiga nelayan tempatan yang turut terselamat ialah Erwan Nordin, 39, (tekong) bersama dua pembantunya, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26.
Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai tiga helikopter terdiri daripada sebuah AW 139 dan dua buah Dauphin AS365N3 bersama sebuah kapal ronda maritim KM Nusa selain turut membabitkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan dan Persatuan Nelayan Kawasan Dungun. – UTUSAN ONLINE











