Maut kereta terbabas dalam semak - Utusan Malaysia

Maut kereta terbabas dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 24 Mei – Seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menunaikan solat tarawih malam tadi ditemukan maut dalam kenderaannya yang terbabas dalam semak di Kampung Kasim Jawa di sini pagi ini.

Mayat Abdul Gani Maknor, 87, yang keluar dari rumah malam tadi memakai baju Melayu, kain pelikat dan berkopiah ditemukan meninggal dunia di dalam kereta jenis Mazda kira-kira pukul 9 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa terbabas sendiri ke dalam kawasan semak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Warga emas itu dikatakan keluar rumah sejak pukul 8 malam tadi namun kejadian itu hanya disedari selepas 13 jam apabila mayatnya dijumpai oleh keluarga mangsa di kawasan semak.

“Siasatan polis juga mendapati, mangsa meninggal dunia selepas kenderaannya terbabas ke kawasan semak dan cenuram berhampiran rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Gani Maknor
GAMBAR lesen memandu mangsa, Abdul Gani Maknor. – UTUSAN ONLINE

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu anak mangsa, Melor Abdul Gani, 56, berkata, kehilangan bapanya yang disedari ibu selepas tidak pulang sehingga tengah malam membuatkan semua penduduk dan ahli keluarga berusaha mencarinya.

“Kami mencari arwah sehingga ke Tampin, Negeri Sembilan namun kira-kira pukul 9 pagi tadi, seorang anak saudara arwah ternampak kesan tayar dan rempuhan pada pokok mengkudu hanya kira-kira 50 meter dari rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini