SEMPORNA 5 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna berjaya menyekat cubaan dua lelaki menyeludup keluar 1,450 liter minyak petrol di perairan Pulau Bum Bum dekat sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kedua-dua lelaki berumur 31 dan 35 tahun itu dikesan menggunakan dua bot bagi mengangkut 58 tong minyak sebelum ditahan pada pukul 8 pagi oleh sepasukan anggota peronda yang menjalankan tugas rutin.
“Anggota cuba menahan kedua- dua bot itu selepas mendapati sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan namun juragan bot itu bertindak memecut laju bot apabila ternampak peronda sebelum berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua juragan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan di dalam ruangan bot terdapat 58 tong petrol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Norrimi berkata, penahanan itu merupakan kes ketiga setakat ini direkodkan Zon Maritim Semporna bagi tahun 2019.
Katanya, tangkapan pertama dan kedua membabitkan aktiviti penyeludupan bahan bakar adalah pada bulan Februari dan April lalu serta kali melibatkan penyeludupan 58 tong minyak petrol.
“Kita akan meningkatkan lagi rondaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan
“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.-BERNAMA











