PUTRAJAYA 3 Mei 2019 – Skuad FIT Touch negara melaungkan amaran awal serta enggan sekadar menjadi pasukan ‘penumpang’ pada kejohanan Piala Dunia FIT Touch 2023 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, empat tahun lagi.
Pengendali skuad Terbuka Wanita (TW) negara, Amir Affifuddin berkata, anak-anak buahnya berpotensi besar untuk menyinar pada kejohanan itu kerana usia yang masih muda dan berbakat.
“Majoriti pemain-pemain saya berusia seawal 16 tahun, ada di antara mereka yang turut berpengalaman luas menyertai kejohanan-kejohanan bertaraf dunia termasuk Piala Dunia Remaja pada tahun lepas.
“Jadi, saya percaya mereka mampu menjadi pencabar utama pada kempen Piala Dunia 2023 jika potensi mereka digilap dengan sempurna dan konsisten selepas ini,” katanya.
Pada kejohanan edisi kesembilan kali ini, skuad kendalian Amir muncul wakil negara paling cemerlang apabila berjaya menempah slot playoff penentuan tempat ke-13 dan 14 berdepan Fiji esok selepas menamatkan saingan di tangga ketujuh Kumpulan B dengan 12 mata hasil dua kemenangan dan enam tewas.
Pencapaian skuad Terbuka Campuran (TC) negara juga boleh dibanggakan kali ini apabila berjaya menamatkan saingan di tangga ke-10 Kumpulan B dengan 10 mata, sekali gus menempah pertemuan berdepan Itali dalam aksi playoff penentuan tempat ke-19 dan 20 esok.
Satu lagi wakil negara dalam kategori Lelaki 40 tahun (L40) pula sekadar menamatkan saingan di tempat tercorot daripada 13 pasukan bertanding pada kali ini.
Dalam pada itu, jurulatih TC negara, Mohd. Ehsan Manan menetapkan sasaran supaya skuad kendaliannya berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik dunia menjelang Piala Dunia FIT Touch 2023 nanti.
“Masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi semasa sepasukan dan saya percaya sasaran itu berjaya direalisasikan jika mendapat sokongan sepenuhnya pelbagai pihak.
“Pada masa sama, saya juga berharap supaya sukan FIT Touch menjadi lebih popular terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus membantu mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











