KUALA LUMPUR 8 Mei.- Belum sempat berbuka puasa, sebanyak lima lelaki ditahan polis di Mukah, Sarawak kerana disyaki terlibat dengan dadah.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, serbuan kira-kira pukul 4 petang kelmarin telah dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di sebuah rumah terletak di Jalan Oya-Mukah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau memberitahu portal itu, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
“Seorang daripadanya mempunyai tiga rekod dadah manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah dadah, sementara baki tiga orang lagi tidak mempunyai rekod jenayah.
“Hasil penahanan kelima-lima suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun itu, pihaknya turut merampas 15 peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis methampethamine.” katanya.
Tambah Jimmy, hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mereka telah terlibat dalam kegiatan itu sejak seminggu lalu.
“Bekalan dadah juga diperolehi daripada pengedar dadah di kawasan Bintulu serta Miri dekat sini.
“Kesemua suspek kini direman sehingga 11 Mei mengikut Seksyen 39 A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jimmy berharap masyarakat akan terus memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membenteras kegiatan dadah ini secara berterusan.-UTUSAN ONLINE











