Lelaki ditahan cuba seludup tong gas LPG - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan cuba seludup tong gas LPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mei – Tindakan seorang lelaki cuba menyeludup keluar 10 tong gas cecair petroleum (LPG) ke negara jiran menerusi perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, dekat Tawau, Sabah semalam gagal selepas dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Dalam tangkapan kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 27 tahun ditahan sepasukan anggota PPM melalui Ops Gelora Khas selepas bot laju yang dikendalikannya dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan 10 tong gas LPG disembunyikan dalam bot laju berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahan bersubsidi yang masing-masing sebanyak lima tong gas LPG jenama Petronas dan lima tong gas jenama Mygazz disyaki cuba diseludup untuk dibawa keluar ke Indonesia.

“Suspek juga gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Pajeri, hasil tangkapan lelaki terbabit bersama barang rampasan termasuk sebuah bot laju bersama satu unit enjin jenis yamaha 40 kuasa kuda dianggarkan berjumlah RM18,800.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau dekat sini untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita akan sentiasa tingkatkan rondaan dan operasi di laut bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang-barang kawalan khususnya sepanjang musim perayaan ini,” katanya-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini