Lelaki cedera ditetak dalam kejadian samun - Utusan Malaysia

Lelaki cedera ditetak dalam kejadian samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT 27 Mei – Seorang lelaki cedera di kepala dan pergelangan tangan akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun di ladang memproses ayam di Kampung Jaya Setia di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian pada pukul 5 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia lingkungan 60 tahun berada di ladang tersebut bersama pekerjanya.

Katanya, tiga lelaki bertopeng muka dengan seorang daripadanya bersenjatakan sebilah parang telah menyerbu masuk ke premis tersebut dan memeras ugut kedua-dua lelaki itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pekerja berusia 50-an itu cuba melawan namun berlaku pergelutan antara dia dan suspek sebelum mangsa pengsan akibat dipukul di kepala.

“Melihat kejadian itu, majikan lelaki tersebut turut melawan namun dia telah dibelasah dan ditetak oleh seorang daripada suspek menggunakan parang hingga cedera di kepala dan pergelangan tangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri dipercayai menaiki kereta setelah menyamun wang tunai RM1,000 dan dua telefon bimbit.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan sebelum lelaki yang merupakan majikan itu dipindahkan ke Hospital KPJ di Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan bagi memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini