SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun selepas didapati membawa sebilah kerambit dalam pemeriksaan rambang ke atas penunggang motosikal di Plaza Tol Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth di Perai di sini awal pagi tadi.
Suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu ditahan dalam pemeriksaan kira-kira pukul 2.30 pagi oleh anggota polis yang sedang melakukan tugasan rondaan pencegahan jenayah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggotanya telah melakukan pemeriksaan fizikal ke atas suspek, namun tidak menemui sebarang barang yang menyalahi undang-undang.
“Kemudian beg galas yang berada di dalam raga motosikal yang ditungganginya itu diperiksa sebelum menjumpai sebilah kerambit bersarung.
“Anggota polis terus merampas barang tersebut dan menahan suspek kerana kesalahan memiliki senjata berbahaya,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Menurut Nik Ros Azhan, siasatan pihaknya ke atas suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu mendapati dia telah gagal memberi keterangan yang munasabah tentang pemilikan senjata itu di tempat awam.
“Dia juga memaklumkan semua barang yang dijumpai itu adalah miliknya,” katanya lagi.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kikisan, Letupan dan Senjata Berat 1958. – K! ONLINE











