KUALA LUMPUR 31 Mei – Zapril Hashim, bekas pemain Selangor pada era 70-an hingga 80-an bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan dengan penuh duka dan derita ekoran tiga jari kakinya dipotong kerana menghidap penyakit kencing manis.
Dia yang baru dibenarkan keluar Hospital Ampang, Selangor pada Ahad lalu turut terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan sepanjang menerima rawatan di situ sekalipun tidak memiliki sumber pendapatan tetap.
Hidup sebatang kara dan masih bujang, Zapril amat memerlukan bantuan pihak-pihak yang prihatin dan masih mengenang serta menghargai jasanya sebagai sayap kanan handalan Merah Kuning, satu ketika dulu.
Antara kejayaan besarnya bersama pasukan Selangor ialah menjuarai Piala Malaysia sebanyak lima kali termasuk merangkul trebel, Liga dan Piala Malaysia 1984 serta Piala Sultan Ahmad Shah 1985.
“Zapril juga seangkatan legenda bola sepak Selangor dan Malaysia antaranya Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Reduan Abdullah, mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh, Khan Hung Meng, Abdul Muin Rahim dan Azhar Mohd. Sharif.
“Dia kini tinggal di No. 4-1, Jalan Chow Kit Kiri off Jalan Putra, Kuala Lumpur.
“Semoga bantuan dan sokongan orang ramai dalam apa juga bentuk dan cara, mampu meringankan beban dan penderitaan hidup yang ditanggungnya,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Mohd. Firdaus Mohamed yang melawatnya, baru-baru ini. UTUSAN ONLINE











