Legasi Kay Kim terpahat dalam sejarah Malaysia - Utusan Malaysia

Legasi Kay Kim terpahat dalam sejarah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan sedih dan dukacita atas pemergian tokoh sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Sultan Sharafuddin bertitah, sumbangan mendiang sebagai antara individu yang menggubal Rukun Negara adalah sangat Baginda kagumi.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan takziah kepada isteri mendiang, Puan Sri Rathi Khoo dan anak-anak mendiang, Eddin, Rubin dan Mavin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara,” titah baginda menerusi kenyataan Titah Ucapan Takziah oleh Baginda yang disiarkan dalam akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Kay Kim, 82, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat masalah jantung hari ini.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, telah mengenali mendiang sejak sekian lama menerusi aktiviti bersama dalam Royal Asiatic Society.

“Mendiang telah banyak memberi pandangan dan nasihat kepada Beta mengenai isu-isu semasa khususnya yang menyentuh aspek-aspek sejarah dan arena sukan.

“Baru-baru ini, mendiang telah membantu Beta untuk menerbitkan sebuah buku yang merangkumkan sejarah Bola Sepak Selangor yang bakal dikeluarkan akhir tahun ini,” titah Baginda.

Menurut Sultan Sharafuddin, Bagi mengenang jasa-jasa mendiang kepada negeri Selangor, Baginda telah menganugerahkan mendiang dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun 2009.

“Beta yakin legasi mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim akan terus terpahat dalam sejarah Malaysia dan akan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini,” titah Baginda.

Akaun Facebook Selangor Royal Office turut memuat naik gambar arkib Sultan Sharafuddin berkenan memberi anugerah kepada mendiang Kay Kim.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini