Pengalaman berkunjung ke pusat pemulihan dadah mahupun institusi rawatan tertentu mampu menitipkan kesedaran serta muhasabah diri mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Selain itu, kita juga berpeluang menyelami masalah pelatih (penagih) di pusat tersebut dan cuba berkongsi bagaimana mereka mengharungi detik hitam di samping mencari peleraian dengan membuka minda sekali gus memberikan kekuatan.
Sehubungan itu, lawatan amal seramai 40 orang ahli Majlis Belia Raub (MBR) ke Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Raub dan Puspen Sungai Ruan, Raub, Pahang memberi peluang kepada mereka untuk bermuhasabah di samping mengelakkan diri daripada terjebak dengan najis dadah.
Peserta terbabit bukan sahaja dapat mengisi jadual program Kem Smart-Kembara Belia Bermotor Raub sempena Bulan Antidadah Kebangsaan 2019, malah memanfaatkan cuti hujung minggu untuk menjalankan aktiviti rekreasi dengan menunggang 40 buah motosikal dan singgah di kedua-dua buah pusat tersebut.
Antara aktiviti sehari suntuk itu adalah kunjungan ahli MBR meninjau projek tanaman nanas, perlawanan persahabatan bola tampar dan tarik tali dengan peserta Puspen Raub selain mengadakan sesi motivasi kepimpinan dan kebajikan serta perlawanan tarik tali bersama peserta Puspen Sungai Ruan.
Pelepasan ahli kembara bermotosikal MBR itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin di pekarangan pejabat pertubuhan itu.
Ketua ekspedisi, Abdul Basits Mohamed Mokhtar, 39, berkata, ahli MBR terpanggil untuk menyantuni pelatih di kedua-buah Puspen daerah itu untuk memberi semangat kepada mereka sepanjang menjalani program pemulihan.
“Kunjungan ini cukup signifikan, bukan sahaja mendekatkan diri pelatih Puspen dengan masyarakat luar, malah untuk peserta bermuhasabah diri supaya tidak terjebak dengan dadah.
“Kami juga dapat meninjau aktiviti pertanian dan keusahawanan yang diajar kepada pelatih pusat ini.
“Ia membuktikan golongan berkenaan mampu berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh serta kembali diterima masyarakat kelak,” katanya di Puspen Raub, Pahang baru-baru ini.
Abdul Basits yang juga Pengerusi MBR berkata, kunjungan itu merupakan kali pertama sempena sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 dan akan diadakan lebih kerap pada masa akan datang. Ia melibatkan penyertaan lebih banyak pertubuhan belia di daerah ini bagi memberi peluang kepada ahli melakukan kerja-kerja kebajikan dan keagamaan di kedua-buah Puspen terbabit.
Ahli Pertubuhan Belia Kampung Pamah Rawas, Raub, Mohd. Nor Izwan Sulaiman, 33, berkata, kunjungan ke pusat tersebut menyuntik keinsafan sekali gus memberikan teladan khususnya kepada belia supaya menjauhi dadah.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kita untuk berinteraksi dengan pelatih, menitipkan nasihat serta motivasi bahawa mereka tetap disayangi ahli keluarga dan tidak sesekali disisihkan masyarakat apabila keluar nanti,” ujarnya.
Katanya, ahli MBR juga dapat mempelajari program keusahawanan seperti tanaman nanas dan sayur-sayuran yang diselenggarakan oleh pengurusan kedua-dua Puspen tersebut untuk persediaan pelatih apabila keluar nanti.
Sementara itu Shahiruddin berkata, aktiviti itu merupakan langkah terbaik kerana ia memberi peluang dan ruang belia berinteraksi dengan penagih selari dengan konsep masyarakat penyayang.
Tambahnya, program itu juga dapat mengisi masa lapang hujung minggu ahli dan belia menerusi kegiatan rekreasi dan riadah di samping membantu kerajaan merealisasikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah.











