JOHOR BAHRU 5 Mei – Seorang penunggang motosikal patah kedua-dua kaki selepas terlibat dalam kemalangan semasa cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di KM21.1 Lebuhraya Linkedua arah timur di Iskandar Puteri awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan berlaku semasa lelaki itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berusia 19 tahun melawan arus lalu lintas semasa melarikan diri.
Menurutnya, kejadian pada 2.04 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan polis jenis Proton Inspira yang sedang melakukan rondaan penguatkuasaan trafik dari Gelang Patah menghala ke Taman Perling bertembung dengan motosikal lelaki terbabit.
“Pertembungan itu berpunca daripada lelaki tersebut yang menunggang secara melawan arus kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang berada di hadapan.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal itu yang mengalami kecederaan patah kedua kaki telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah menggunakan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota polis yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanpun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987. – UTUSAN ONLINE.











