PUTRAJAYA 6 Mei – Lambakan pekerja asing tanpa izin (PATI) merupakan antara isu yang terus menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN), selain aspek keselamatan dan mengurangkan kadar jenayah.
Dalam usaha menangani masalah tersebut, Menteri Dalam Negeri, Tan sri Muhyiddin Yassin berkata, sebuah jawatankuasa bersama antara pihaknya dan Menteri Sumber Manusia telah dibentuk untuk mengkaji permintaan sebenar pekerja asing di Malaysia.
Jawatankuasa itu juga untuk mengkaji mewujudkan sistem pengurusan pekerja asing yang lebih holistik dalam usaha membanteras PATI.
Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen juga sentiasa melaksanakan operasi dari semasa ke semasa untuk mengambil tindakan tangkap dan usir PATI menurut peruntukan undang-undang.
“Dari Januari hingga Mac 2019, seramai 11,234 orang PATI telah ditahan di atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam temubual bersama media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) peringkat kementeriannya di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, antara pendekatan holistik yang dicadangkan bagi menangani masalah PATI ialah mendapatkan kerjasama kerajaan negeri dan pihak-pihak yang berada di peringkat akar umbi seperti penghulu dan ketua kampung.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, rang undang-undang bagi meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan.
Beliau menjangkakan kedua-dua rang undang-undang itu dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.
Jelasnya, terdapat enam akta yang dikatakan zalim terlibat dalam kajian semula iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, SOSMA, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
Mengenai usaha mengurangkan kadar jenayah, beliau berkata, ia sentiasa menjadi keutamaan PDRM dan pelbagai inisiatif telah diambil termasuk penggunaan teknologi tinggi dan penambahbaikan infrastruktur seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Muhyiddin berkata, tanggungjawab mengawal sempadan negara juga sentiasa dipikul oleh agensi-agensi utama di bawah KDN seperti Agensi Kawalan sempadan Malaysia(Aksem), Jabatan Imigresen, agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan PDRM.
Menurut Muhyiddin, dalam tempoh setahun PH mentadbir negara, fokus KDN ialah untuk melaksanakan janji-janji dalam manifesto PH di samping memastikan KDN dapat terus berfungsi dengan berkesan sebagai kementerian utama yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam.
“Seiring dengan semangat Malaysia Baharu, KDN komited untuk meningkatkan integriti dan ketelusan, melindungi hak-hak asasi rakyat, pada masa yang sama bertindak tegas dalam memerangi jenayah dan memelihara keamanan dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











