Kurangkan kos bukan kerana mahal - Utusan Malaysia

Kurangkan kos bukan kerana mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mei – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kerajaan Malaysia tidak pernah mendakwa pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah semata-mata kerana ia terlalu mahal.

MRL dalam satu kenyataan berkata, kerajaan berhadapan dengan pilihan sama ada membuat rundingan semula perjanjian kontrak kejurutera­an, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ECRL atau membayar kos penamatan yang dianggarkan berjumlah RM21.78 bilion kepada China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam tempoh yang singkat.

Katanya, memandangkan kebimbangan utama kerajaan adalah kos ECRL yang tinggi, kerajaan kemudiannya memutuskan untuk membuat rundingan semula perjanjian EPCC dengan CCCC dan kerajaan China supaya mendapat kesepakatan yang lebih saksama serta mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MRL ingin menekankan bahawa Malaysia mengadakan rundingan dengan kerajaan China atas dasar mencari cara dan usaha untuk mengurangkan kos ECRL tanpa kehilangan intipati asas jajaran ECRL.

“Untuk rekod, kedua-dua negara memilih untuk berunding dengan semangat muhibah dan diplomatik, serta bermatlamat untuk mencapai kos pembinaan ECRL yang lebih rendah,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rundingan tersebut sete­rusnya membawa kepada penyelesaian pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM44 bilion, penubuhan 50:50 syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL, serta peningkatan dalam penyertaan tempatan kontraktor Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL.

Sementara itu MRL turut menegaskan projek ECRL yang merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer adalah usaha penambahbaikan yang berteraskan rakyat dan didorong oleh aspek-aspek ketelusan dan akauntabiliti.

Katanya, rundingan semula projek ECRL oleh kerajaan telah menghasilkan situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada Malaysia dan kerajaan China.

Dalam pada itu MRL berkata, pihaknya berharap laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang baharu dapat ditauliahkan pada suku ketiga tahun ini kerana penjajaran semula keseluruhan ECRL akan lebih terperinci pada masa tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini