MELAKA 27 Mei – Orang ramai yang berminat untuk mengambil haiwan terbiar seperti kucing dan anjing berpeluang mendapatkan haiwan berkenaan secara percuma untuk dipelihara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin berkata, haiwan-haiwan yang masih sihat itu boleh diperolehi di Jabatan Infrastruktur Komuniti dan Logistik (JIKL), Kompleks Logistik Batu Berendam, di sini.
Menurutnya, program haiwan angkat itu bertujuan mendidik masyarakat agar tidak membuang haiwan peliharaan mereka di kawasan awam sebaliknya menyerahkannya kepada JIKL yang seterusnya membantu mengurangkan haiwan terbiar.
“Kita akan laksanakan program tangkapan haiwan terbiar di mana haiwan yang mempunyai penyakit kita akan lupuskan manakala haiwan yang sihat akan diletakkan di JIKL dalam satu tempoh bagi membolehkan pemiliknya membuat tuntutan.
“Jika mereka tidak menuntut haiwan tersebut, kita akan menyerahkan haiwan itu kepada orang awam untuk dijadikan haiwan angkat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Setulus Kasih Aidilfitri MBMB bersama Media di Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.
Jelas Mansor, dalam masa sama, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBMB dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) pusat perlindungan haiwan dan klinik veterinar swasta kini giat mengadakan Program Kesedaran Kembiri untuk haiwan seperti kucing dan anjing bertujuan mengawal populasi haiwan berkenaan.
“Program Kesedaran Kembiri ini telah dimulakan di AEON Bandaraya Melaka, 25 Mei lepas dan dapat mengumpulkan sebanyak 55 ekor kucing dan tujuh ekor anjing untuk dikembiri.
“Program ini juga menggalakkan pemilik haiwan untuk mendapatkan perkhidmatan kembiri pada kos yang rendah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











