KPDNHEP Melaka serbu bazar jual produk tiruan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Melaka serbu bazar jual produk tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 25 Mei – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas sejumlah 1,217 unit produk tiruan bernilai RM49,890 selepas menyerbu tiga buah bazar Aidilfitri di Klebang di sini petang semalam.

Dalam serbuan pukul 5 petang itu, ketiga-tiga premis dikesan menjual produk-produk tiruan iaitu selipar, kasut dan seluar jean dengan pelbagai cap dagang tanpa kebenaran pemilik jenama berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Muhamad Aizudin Mohd. Said berkata, serbuan dibuat hasil risikan dan aduan awam melibatkan empat pasukan penguat kuasa disertai 16 anggota dan pegawai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam serbuan di dua daripada tiga bazar itu, pihak kami merampas sejumlah 787 unit produk tiruan iaitu selipar dan kasut jenama Nike, Adidas dan Puma bernilai RM28,390.

“Dalam serbuan di sebuah bazar menjual pelbagai jean pula, pihak kami merampas 430 helai seluar jenama Levi’s yang bernilai RM21,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, kesemua hasil rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011.

 

Jika sabit kesalahan, katanya, pesalah individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan ulangan pula kata beliau, pesalah boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara maksimum atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan ulangan pula, denda itu dinaikkan kepada maksimum RM30,000 untuk setiap barangan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Muhamad Aizudin mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang menjual barangan tiruan khususnya di bazar-bazar raya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini