KUALA LUMPUR 22 Mei – Dua daripada sepuluh suspek yang ditahan berhubung kes ugutan dan khianat terhadap rumah Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan dituduh esok.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 30 tahun akan dituduh di Mahkamah Selayang.
Ujarnya, bagaimanapun, pihaknya kini giat memburu suspek utama kes berkenaan yang dikenali sebagai Man Puchong atau nama sebenarnya Jafni Abdullah.
“Kita memerlukan kerjasama orang awam yang mengenali suspek untuk tampil memberikan maklumat kerana suspek ini begitu penting dalam membantu siasatan berhubung kes ini.
“Selain itu, kita sama sekali tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas individu atau kumpulan yang menggunakan kekerasan serta membahayakan orang ramai bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau isu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.
Pada 28 April lalu, rumah dan kereta Pengarah Penguat Kuasa MPS di Taman Muhibbah, Rawang, dekat sini telah diserang oleh beberapa lelaki dengan cara menyimbah cat berwarna merah ke atas dua kenderaan mangsa selain membakar mercun yang diletakkan dalam tong cat bersama paku, besi dan serpihan kertas.
Tidak cukup itu, rumah mangsa diserang sekali lagi pada 13 Mei lalu dengan cara yang sama oleh beberapa lelaki.-UTUSAN ONLINE











