KOTA KINABALU 10 Mei – Polis di sini sedang giat memburu seorang lelaki, Arthur Julian Abit yang juga dikenali sebagai Gatok kerana dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal dan kenderaan di sekitar Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek ialah lelaki warga tempatan berumur 34 tahun dan dipercayai merupakan ketua kumpulan serta dalang dalam kes curi motosikal dan kenderaan yang aktif sejak penghujung 2018.
Menurutnya, tiga ahli Geng Gatok berumur antara 20 hingga 39 tahun telah ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Inanam, di sini pada 25 April hingga 2 Mei lepas.
“Dua daripada yang ditahan ialah warga Filipina dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala seorang lelaki warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah serta curi kereta sekitar 2011 hingga 2017.
“Dengan tangkapan tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 hingga 15 kes curi kenderaan di sekitar Kota Kinabalu khususnya di Inanam, di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda. – BERNAMA











