GUA MUSANG 9 Mei – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM150,000 kepada lebih 200 masjid dan madrasah di empat kawasan wilayahnya bagi memeriahkan Ramadan kali ini.
Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, sumbangan itu diberikan kepada wakil masjid atau peneroka bagi menjayakan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan dengan lebih sempurna.
Katanya, sumbangan itu adalah program tahunan yang dilaksanakan Kesedar kepada penduduk di kawasan wilayah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan sebahagian Tanah Merah.
“Kita berharap sumbangan ini digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan iftar Ramadan serta aktiviti keagamaan yang bermanfaat.
“Walaupun berdepan kekangan perbelanjaan, tetapi kita berusaha mencari peruntukan kerana program tahunan ini harus diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Program Iftar Sempena Bulan Ramadan di Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar Gua Musang, Iskandar Zurkarnain Ibrahim.
Sazmi juga berkata, program sempena bulan Ramadan yang dianjurkan juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pihak peneroka Kesedar.
“Kita menggalakkan kakitangan kita untuk menyertai program sempena Ramadan ini dan beriftar bersama peneroka di masjid atau madrasah bagi merapatkan hubungan dan bertanyakan masalah yang dihadapi di kawasan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE











