KUALA LUMPUR 24 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan didesak mencari jalan segera bagi menyelamatkan kadar ringgit yang semakin merosot kepada RM4.20 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS).
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH sering mengkritik bahawa Malaysia akan bankrap jika berterusan ditadbir kerajaan terdahulu.
Kini, jelas beliau, sebaliknya pula berlaku apabila ekonomi dan ringgit Malaysia terus merudum jatuh sejak PH mengambil alih tampuk kepimpinan.
“Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berulang kali menyeru perniaga domestik untuk mempunyai keyakinan terhadap pembangunan ekonomi negara dan menggalakkan mereka melabur dalam pasaran Malaysia. Tetapi ringgit terus jatuh, bagaimana mereka nak yakin?
“Beliau menegaskan bahawa dalam situasi biasa, jika terdapat banyak aliran modal asing masuk dan pelabur asing ingin melabur di negara ini, mereka perlu menukarkannnya ke dalam ringgit. Tetapi, kadar pertukaran ringgit kini semakin menurun.
“Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diminta untuk tidak berdiam diri dan segera mengambil tindakan bagi menyelamatkan ekonomi negara dan ringgit. Jika tidak, kehidupan rakyat hanya akan menjadi lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











