Kerajaan belum putuskan kadar tol - Tun M - Utusan Malaysia

Kerajaan belum putuskan kadar tol – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum mengkaji mekanisme bagi menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, memang terdapat cadangan pihak swasta untuk mengurangkan kadar tol supaya dapat diambil alih pihak berkenaan.

“Pada masa ini kita belum dapat tentukan apa yang kita harus lakukan berkenaan tol.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada cadangan pihak swasta untuk mengurangkan (kadar) tol tapi tidak sampai 25 peratus, ini supaya mereka dapat ambil alih, tetapi ini belum diputuskan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Memteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam satu temubual baru-baru ini yang menyatakan
bahawa kajian yang dilakukan menunjukkan kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus.

Mahathir berkata, itu adalah pendapat Tun Daim, namun kerajaan belum membuat kajian bagaimana kadar tol boleh diturunkan sehingga 25 peratus.

“Kita sekarang menghadapi masalah, walaupun kita buat perjanjian untuk menghapuskan tol. Tetapi apabila tol dihapus, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.

“Umpamanya, kalau nak hapuskan tol PLUS, kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. Duit itu lebih baik kalau kita belanja bayar hutang, boleh kita kurangkan sikit beban kita. Jadi, pada masa ini belum kita dapat tentukan apa yang harus dilakukan berkenaan dengan tol,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini