KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menuntut semula tanah yang digunakan untuk pembinaan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, sekiranya benar ia telah dipindah milik kepada mana-mana pihak.
Perdana Menteri berkata, sesiapa sahaja yang ingin membuat pengambilan tanah, perlu melalui proses sedia ada.
“Ya, kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan oleh mana-mana pihak, mereka mestilah melalui proses sedia ada, apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa pun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan satu daripada lima plot tanah untuk projek RTS dipindah milik kepada Sultan Johor, ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.
Ditanya sama ada tanah itu dibeli oleh baginda, beliau berkata, setakat ini kerajaan tidak mendapat sebarang laporan penuh mengenai perkara itu.
“Kita (kerajaan) dengar khabar-khabar angin daripada press (media) bahawa tanah ini telah diambil alih oleh Sultan Johor. Tentang bayaran kita tidak tahu,” katanya. – Bernama











