Untuk memasarkan kredibiliti diri anda sendiri di Malaysia, tidak kira sama ada dengan tujuan untuk mendapatkan pekerjaan, ingin mendapatkan autoriti, mengembangkan jaringan profesional, mencari projek dan sebagainya, tidak ada cara lain lebih efektif selain menulis secara profesional dengan baik.
Walaupun kandungan video sedang rancak dan mula mendapat tempat di hati penggemar sosial media kini, namun ia perlu juga mempunyai penulisan status media sosial yang baik bagi mengiringi video tadi supaya mampu menarik pandangan pertama orang ramai.
Di samping itu, video tadi perlu juga diikuti dengan penulisan skrip pada paparan skrin kerana tidak ramai yang melihat video bersuara di peranti mudah alih mereka kecuali ia benar-benar menarik.
Kebanyakannya lebih gemar menonton dalam keadaan tidak bersuara kerana mereka mungkin berhasrat untuk hanya ingin singgah sebentar sahaja sebelum meneruskan ‘perjalanan’ sebelum ke tempat lain ataupun takut dengan bunyi daripada video itu akan menganggu keadaan persekitaran.
Kesan
Dengan kata lain, walau sehebat mana pun anda dengan pembikinan video, penulisan yang baik dan beremosi mendatangkan kesan kepada para penonton juga mempunyai peranan penting.
Saya melihat generasi masa kini yang tidak lagi mahir dalam penulisan terutama bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris ataupun kedua-duanya. Mereka nampak mahir ketika bercakap tetapi kualiti penulisan sangat menakutkan.
Untuk menulis dalam Bahasa Malaysia pun tidak boleh, Bahasa Inggeris pun tidak boleh. Ini menjadikan kedudukan mereka sangat sukar untuk bergerak jauh dalam karier profesional.
Saya banyak menerima permintaan daripada para pemasar digital dari dalam dan luar negara untuk menulis di laman web milik syarikat saya tetapi hampir 95 peratus permintaan terpaksa ditolak kerana tidak boleh menulis dengan baik.
Kebanyakan mereka tidak mahir dengan ejaan walaupun ia terlalu mudah, kesalahan tata bahasa terlalu teruk yang tidak sanggup saya lihat dan akhir sekali aliran cerita berterabur. Biasanya aliran cerita perlu mudah difahami dan sedikit dramatik, baru menarik.
Tahap penulisan
Bagi saya, pemasar yang baik perlu mempunyai tahap penulisan yang baik. Kalau anda tidak mahir menulis, sukar untuk membantu pelanggan dalam strategi pemasaran yang mahu dibina.
Anda juga bakal menghadapi kesukaran membina kekuatan jenama peribadi sendiri. Autoriti anda sebagai seorang thought leader akan goyang apabila orang melihat pelbagai kesalahan ejaan dan tata bahasa dalam penulisan.
Konsep yang sama juga boleh diguna pakai ketika memohon sesuatu pekerjaan. Ya, mungkin boleh mengupah orang lain untuk menulis resume anda agar kelihatan hebat. Mungkin juga anda boleh menghadapi temu duga dengan baik melalui kepetahan bercakap.
Tetapi rahsia anda sebenarnya tidak boleh menulis akan mula terkeluar sedikit demi sedikit apabila karier bermula di syarikat tersebut. Dalam sebulan dua sahaja, majikan atau pihak pengurusan syarikat anda bekerja itu pasti akan perasan yang sebenarnya anda tidak mampu melakukan apa jua pekerjaan kerana penulisan terlalu teruk.
Tulisan di e-mel hancur, penulisan laporan mingguan atau bulanan juga hancur malah penulisan proposal untuk diberikan kepada pelanggan juga akan turut hancur berkecai. Bukan itu sahaja, reputasi anda turut terpalit dengan situasi buruk ini.
Profesional
Dengan dua contoh di atas, anda sendiri boleh perhatikan bagaimana sukarnya sesuatu keadaan itu berlaku apabila anda tidak mampu menulis dengan baik. Mungkin anda tidak mampu pergi lebih jauh dengan gaya penulisan pasar yang terlalu berunsurkan WeChat itu.
Jadi, sebelum terjerumus dengan lebih jauh lagi ada baiknya anda mula belajar sedikit demi sedikit bagaimana hendak menulis secara profesional.
Hendak tahu bagaimana untuk belajar menulis dengan baik, ada tiga cara mudah:-
Membaca
Pertama, anda tidak boleh lari daripada membaca. Anda boleh mulakan dengan surat khabar dan majalah, kemudian diteruskan lagi dengan buku-buku yang lebih tebal.
Mendengar
Kedua, anda juga boleh mendengar lagu di radio ataupun Spotify, mendengar podcast, mengikuti program-program tertentu.
Berlatih
Apabila proses pertama dan kedua berada pada momentum terbaik, anda perlu berlatih menulis. Mulakan dengan satu atau dua perenggan terlebih dahulu dan kemudiannya anda boleh kembangkannya kepada beberapa perenggan apabila mahir.
Tahukah anda penulisan yang baik akan membantu membina pemikiran berstruktur?










