JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini semalam menolak permohonan pelucutan hak terhadap harta bernilai kira-kira RM1.58 juta milik bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi dan ahli keluarga.
Mahkamah mengarahkan harta yang disita itu dikembalikan kepada pemilik asal atau yang berdaftar melibatkan enam buah kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi, 19 jam tangan berjenama mewah serta wang asing daripada Singapura, Hong Kong dan Kuwait serta wang tunai berjumlah RM406,000.
Permohonan pelucutan harta itu dibuat Timbalan Pendakwaraya, Mahadi Abdul Jumaat bagi pertuduhan terhadap Abdul Latif bersama anaknya dan seorang perunding hartanah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta pada April dua tahun lalu.
Mahadi memohon pelaksanaan perintah di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi yang akan difailkan dalam masa terdekat.
Hakim Kamarudin Kamsun kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan bagi mengembalikan harta serta memerintahkan rayuan permohonan itu boleh dibuat dalam tempoh 14 hari.
“Responden (yang terdiri daripada pihak bank) boleh membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kereta yang disita dikembalikan dengan sejumlah bon cagaran bergantung kepada budi bicara,” katanya.
Pada prosiding berkenaan, Abdul Latif dan ahli keluarganya diwakili oleh peguam Abd. Rahim Ali.
Sebelum ini, Abdul Latif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau dilepas dan dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah pada 21 April lalu.
Pendakwaan tersebut melibatkan dia bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub membabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Sementara itu. Abdul Latif ketika ditemui menyifatkan permohonan pelucutan hak terhadap harta bernilai kira-kira RM1.58 juta miliknya dan ahli keluarga tidak berasas.
“Apa-apapun saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini (semalam),” katanya.










