KUALA LUMPUR 28 Mei – Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang meninggal dunia hari ini bukan sahaja sifu kepada pengkaji sejarah Malaysia tetapi juga guru kepada ramai pemimpin negara sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Mengungkapkan penghormatan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan pemergian tokoh sejarawan negara tersebut suatu kehilangan besar kepada negara khususnya bidang sejarah Malaysia dan Melayu moden.
“Mendiang sangat diingati sebagai seorang yang konsisten kepada pendirian bahawa orang Melayu adalah penduduk asal negara ini.
“Beliau sentiasa menekankan fakta ini dalam puluhan forum, seminar dan konvensyen, malahan pernah menegur beberapa pihak tertentu yang cuba mempertikaikan fakta ini.
“Bahkan juga, buku teks dan pengkajian mendiang menjadi rujukan kepada ribuan pelajar di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara serta pusat pengajian,” kata beliau kepada Utusan Online malam ini.
Menurut Shamsul Anuar, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada balu mendiang, Puan Sri Rathi Khoo dan seluruh ahli keluarga. – UTUSAN ONLINE










