KUALA LUMPUR- Kawasan pembinaan Terminal Bersepadu Gombak di Jalan Taman Melati di sini akan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan selepas struktur konkritnya runtuh pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pegawai keselamatan tapak tersebut bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Rumah kongsi yang menjadi kediaman para pekerja berhampiran kawasan tersebut juga akan dikosongkan.
“Berapa lama ia akan dikosongkan adalah bergantung kepada proses siasatan yang akan dijalankan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.
Samsor menambah, siasatan tersebut juga akan melihat samada struktur binaan tersebut kukuh atau tidak.
“Pada mulanya, kita tidak menyedari kehilangan dua pekerja tapak ini selain pihak pemaju juga tidak mengetahui jumlah sebenar yang menetap di sini.
“Hanya selepas tiga mangsa dikeluarkan pada pagi tadi, kira-kira pukul 9.30 pagi baru kami mendapat maklumat daripada mereka bahawa ada dua lagi mangsa yang tidak dapat ditemui, dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan tersebut,” ujarnya.
Kedua-dua mangsa dipercayai pasangan suami isteri warganegara Indonesia dan ketika kejadian mereka berada di tingkat atas bangunan itu sebelum struktur berkenaan runtuh kira-kira pukul 1 pagi.
Tiga lagi mangsa telah selamat dikeluarkan kira-kira pukul 7 pagi tadi. – K! ONLINE











