BRASILIA, Brazil – Saintis Brazil memakaikan mikrofon dan lampin pakai buang pada sekawan kambing sebagai satu kaedah mengumpulkan maklumat berkait jumlah pengeluaran susu.
Kumpulan penyelidik daripada Syarikat Kajian Agrikultur dan Lanjutan Pedalaman di selatan Brazil berharap pendekatan itu mampu membantu mereka mengenal pasti ukuran panjang rumput untuk meningkatkan pengeluaran susu kambing biri-biri ke tahap maksimum.
Mikrofon dipasang pada badan haiwan itu untuk memastikan ternakan itu benar-benar menelan rumput yang diragut di kawasan padang rumput.
Lampin pakai buang pula bertujuan menadah najis dan air kencing kambing. Sisa buangan itu akan ditimbang untuk mendapatkan maklumat berhubung berapa banyak rumput dihadam dalam perut kambing ketika ujian dilakukan.
Kawanan kambing biri-biri itu ditempatkan di kawasan mengandungi rumput hibrid Axonopus Catharinensis. Haiwan itu dipindahkan ke beberapa kawasan yang memiliki saiz kepanjangan rumput berbeza antara 25 sentimeter (sm) hingga 35sm.
Penyelidikan itu dijangka selesai menjelang bulan Oktober ini dan hasil kajian pula akan disiarkan dalam tempoh terdekat.
Ketua penyelidikan bersama, Fabio Garagorry menyatakan kajian itu turut bertujuan mendidik penternak untuk mengenai saiz kepanjangan rumput terbaik yang perlu diberikan kepada haiwan ternakan mereka.
“Ilmu ini akan membantu mereka untuk meningkatkan berat haiwan ternakan, jumlah haiwan yang perlu diletakkan pada satu-satu kawasan serta memaksimumkan pengeluaran susu harian.
“Langkah mengoptimumkan ketinggian rumput boleh meningkatkan keberkesanan dan produktiviti haiwan ternakan sehingga 30 peratus,” katanya. – Agensi










