Jurulatih mahu kebajikan mereka terjamin - Utusan Malaysia

Jurulatih mahu kebajikan mereka terjamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Mahu jaminan kebajikan diberi perhatian antara cadangan yang disuarakan barisan jurulatih kebangsaan demi kemajuan serta kelangsungan sukan negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata, cadangan tersebut seperti penjagaan kesihatan, peluang pendidikan, kenaikan gaji termasuk mewujudkan biasiswa bagi jurulatih yang ingin melanjutkan pelajaran terutama ke peringkat universiti.

“Secara ringkas jurulatih memohon agar satu pakej kerjaya yang lebih baik dari segi jaminan sosial, penjagaan kesihatan, peluang pendidikan dan sebagainya. Itu semua kami (Kementerian Belia dan Sukan) akan ambil perhatian dan kami bakal laksanakan aspek yang diluahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami faham cabaran yang dihadapi mereka dan kami ingin mewujudkan satu persekitaran kerja yang lebih selesa juga lumayan supaya jurulatih mempunyai fokus lebih tinggi dalam melatih atlet negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama hampir 80 jurulatih daripada pelbagai latar belakang sukan termasuk jurulatih paralimpik di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Steven Sim turut memberitahu, terdapat negara seperti China cuba memancing jurulatih tempatan untuk berkhidmat di samping mereka.

“Apa yang berlaku di China, terdapat akademi sukan di sana meminta kami menghantar jurulatih Malaysia untuk bekerja di sana. Saya juga sempat berjenaka kepada mereka supaya ‘jangan curi jurulatih kami’.

“Apapun, permintaan tersebut menunjukkan jurulatih Malaysia diiktiraf dan berpotensi hebat walaupun terdapat negara yang memiliki prestasi sukan cemerlang seperti China,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini