Jangan tangguh lagi royalti - Utusan Malaysia

Jangan tangguh lagi royalti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 24 Mei – Kerajaan Persekutuan tidak lagi boleh berdolak-dalik membayar royalti minyak kepada Kelantan kerana kes penarikan saman pada hakikatnya sudah selesai.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jika sebelum ini Kerajaan Persekutuan menggunakan alasan tindakan saman Kerajaan Negeri ke atas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjadi punca royalti minyak tertangguh namun ia tidak lagi relevan apabila pihaknya sah menarik balik saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan hanya menyaman Petronas sahaja dan apabila kes penarikan saman selesai maka perkara berkaitan Kerajaan Persekutuan yang hanya pencelah dalam kes tersebut sepatutnya tidak berbangkit dan menghalang mereka membayar royalti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada prosiding 17 Mei lalu Petronas setuju dengan penarikan saman dan terma-terma yang kita kemukakan cuma Peguam Persekutuan sahaja yang tidak beri komitmen dan kita terpaksa menunggu lagi hingga September.

“Kita harap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat pertimbangkan.

“Sepatutnya bila Petronas tarik balik maka Kerajaan Persekutuan patut bayarlah, sepatutnya tak payah tunggu sebab kes sudah selesai,” katanya selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, kerajaan Pas Kelantan berhak melakukan apa yang perlu mengikut perancangannya demi kesejahteraan rakyat menggunakan duit royalti apabila dibayar nanti.

Justeru, katanya, tidak ada pihak yang berhak mensyaratkan kerajaan Pas Kelantan membawa kertas kerja untuk menunjukkan bagaimana duit berkenaan akan dibelanjakan sebelum wang tersebut boleh dibayar di samping menolak keras dakwaan ia akan diguna sebagai dana pilihanraya.

“Kalau ada yang cakap macam itu maka kita pun bimbang duit itu mereka tidak bagi kerana digunakan untuk kepentingan politik mereka.

“Royalti hak kita, kita tidak bertanggungjawab untuk sebut nak buat apa dengan duit kita, seperti (kakitangan awam) terima duit gaji, takkan kerajaan kata awak kena bagitahu kami nak buat apa dengan duit itu, terpulang pada kita nak beli atau makan apa-apa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini