KUALA LUMPUR 18 Mei – Kumpulan 16 kelab ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mempersoalkan tindakan pengurusan badan induk itu yang tampak sengaja melengah-lengahkan Kongres Ke-31 pemilihan yang sepatutnya diadakan sebelum atau pada 31 Mei ini.
Pemangku Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad berkata, arahan dan tempoh akhir itu untuk mengadakan Kongres telah diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sepucuk surat bertarikh 24 Februari lalu.
“KLFA kena patuhi arahan itu dan saya pelik mengapa mereka masih mahu menangguhkannya sehingga November ini dengan alasan laporan kewangan belum siap.
“Kenapa hendak takut dengan bayang-bayang sendiri? Kalau gentleman, teruskan pemilihannya dan kita bertanding,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.
Beliau bimbang kalau-kalau kegagalan mematuhi arahan Pesuruhjaya Sukan itu bakal mengheret kemungkinan KLFA digantung pendaftarannya mahupun mengakibatkan pasukan Kuala Lumpur dihalang beraksi dalam Liga Super dan Piala Malaysia.
“Hak dan suara kami sebagai pemegang taruh KLFA seperti dinafikan terutama yang mewakili 16 daripada 30 kelab ahli gabungan yang layak mengundi dalam Kongres pemilihan,” kata Datuk Ramlan Askolani dari Kelab Petaling Putera yang juga legenda pasukan ibu kota era 80-an. – UTUSAN ONLINE











