Jangan jadikan sumbangan sebagai punca pendapatan - Tun M - Utusan Malaysia

Jangan jadikan sumbangan sebagai punca pendapatan – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 24 Mei – Masyarakat Islam yang sihat tubuh badan tidak seharusnya menjadikan pemberian wang ringgit atau derma sebagai punca pendapatan kerana perkara itu hanya akan melemahkan jiwa mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih baik sekiranya golongan tersebut berusaha sendiri untuk meraih pendapatan yang mencukupi berbanding mengharapkan bantuan seperti itu.

Menurutnya, semua pihak sedar kedatangan Ramadan memberi peluang kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang tidak berkeupayaan terutamanya mereka yang menghidap penyakit-penyakit tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, bagi orang yang sihat, lebih baik lagi kalau kita berusaha sendiri untuk kita membekalkan diri kita dengan duit ringgit dan sebagainya.

“Kita akan menjadi lemah jika kita bergantung kepada orang lain dan kalau tak ada orang lain, maka kita akan jatuh kerana tidak berkeupayaan untuk mempertahankan diri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan Bersama Perdana Menteri di Kampung Ewa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Johari Bulat.

Terdahulu seramai 150 anak yatim, pelajar miskin dan golongan asnaf di Parlimen Langkawi menerima bantuan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, usaha membendung nafsu dan kemarahan juga perlu diteruskan selepas bulan puasa bagi mengelak permusuhan serta persengketaan.

“Banyak masalah di dunia berlaku kerana manusia gagal membendung kemarahan sehingga berlaku peperangan, membunuh dan mencederakan orang.

“Apabila marah, kita tidak dapat berfikir sehingga kita memaki hamun, melemparkan fitnah dan membuat cerita tidak benar pada musuh,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini