Jabatan Pendidikan, Polis Perak tubuh 'task force' tangani jenayah pelajar - Utusan Malaysia

Jabatan Pendidikan, Polis Perak tubuh ‘task force’ tangani jenayah pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 14 Mei – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Polis Perak akan menubuhkan jawatankuasa kecil ‘task force’ bagi menangani masalah disiplin dan jenayah membabitkan pelajar di negeri ini.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN, Mat Jaafar Mat Zain berkata, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak bukan sahaja dapat mengenal pasti permasalahan golongan tersebut malah mencari pendekatan terbaik bagi mengatasinya.

Katanya, meskipun mereka mempunyai kaedah dan pelaksanaan yang berbeza namun matlamatnya adalah sama iaitu menghasilkan pelajar cemerlang yang akan menjadi aset kepada negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak polis ada pendekatan dan kita pun ada cara kita, jadi kita mahu gabungkan dua pendekatan ini untuk membentuk sinergi bagi mencapai matlamat dalam membantu kecemerlangan pelajar.

“Oleh itu, kita akan mengadakan jawatankuasa kecil untuk meneliti apa masalah yang dihadapi golongan itu dan mencari pendekatan terbaik seterusnya melaksanakan ia secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan JPN Perak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham dan Timbalannya, Asisten Komisioner Ng Kong Soon.

Sementara itu Mohamad berkata, polis memandang serius penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah walaupun indeks jenayah membabitkan mereka di negeri ini menurun pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, kadar jenayah pada tahun 2018 menunjukkan penurunan dua kes atau 1.27 peratus iaitu 155 kes berbanding 157 kes pada tahun 2017.

“Kes-kes yang dilaporkan ini lebih kepada kes buli, mendatangkan kecederaan bergaduh dan bermusuh sesama kawan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini