KUALA TERENGGANU 16 Mei – Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim telah meletakkan jawatannya sebagai pengendali skuad Penyu.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menerusi satu kenyataan media malam tadi.
Beliau berkata Irfan Bakti membuat keputusan itu secara sukarela susulan prestasi tidak menentu pasukan Terengganu dalam aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua barisan kejurulatihan bersama pengurusan PBSNT telah diadakan pada pukul 10 pagi semalam bagi menilai kelemahan susulan kekalahan teruk Terengganu kepada PJ City FC di laman sendiri Selasa lalu.
“Dalam mesyuarat itu, Irfan Bakti nekad mengemukakan permohonan bagi menamatkan perkhidmatan sebagai ketua jurulatih dan selepas menilai semua aspek, PBSNT telah bersetuju menerima peletakan jawatan tersebut bagi menghormati beliau,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Farouk berkata proses peletakan jawatan itu akan dimuktamadkan melalui prosedur yang betul selepas ini.
Untuk sementara waktu, tugas Irfan akan diserahkan kepada penolong jurulatih, Mohamad Nafizi Zain sehingga calon yang sesuai bagi menggantikan Irfan Bakti ditemui bagi meneruskan baki sembilan perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia musim ini.
“PBSNT yakin dengan kemampuan Mohamad Nafizi sebagai pengendali sementara dan diharap beliau dapat menjalankan tugas membantu pasukan sebaik mungkin.
“Bagaimanapun kita serta seluruh keluarga besar bola sepak tidak seharusnya melupakan jasa serta pengorbanan Irfan Bakti yang telah mengharumkan nama Terengganu di persada bola sepak tanah air sejak 2011 lagi,” katanya lagi.
Pada 2011 Irfan Bakti berjaya membawa Terengganu menjuarai Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC buat pertama kalinya dalam sejarah pada 2012.
Beliau kemudian kembali ke negeri Darul Iman ini pada 2017, dan pasukan bimbingannya muncul naib juara Liga Perdana dan membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta naib juara Piala Malaysia 2018.
Dalam kenyataan itu, Tengku Farok Hussin turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa aksi tidak konsisten pemain berpunca daripada masalah pembayaran gaji.
Menurut beliau, PBSNT yang turut memayungi empat lagi pasukan bola sepak negeri iaitu TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5 sentiasa memastikan bayaran gaji dibuat bermula 25 hari bulan dan selewat-lewatnya 7 hari bulan setiap bulan.
Selain itu, bonus kemenangan yang dijanjikan sebelum ini juga telah dibayar serta diuruskan dengan baik kepada pasukan yang berkenaan.
“PBSNT menafikan sekeras-kerasnya tohmahan tersebut dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan pemain terpelihara.
“Kepada seluruh peminat bola sepak Terengganu, sokongan amat diperlukan ketika ini untuk membawa pasukan kembali gah mengharungi saingan yang masih berbaki. Pemain ke-12 merupakan sebahagian nadi kejayaan sesebuah pasukan,” katanya. – BERNAMA











