IPCMC: Kerajaan dengar pandangan semua pihak, sedia jumpa PDRM - Utusan Malaysia

IPCMC: Kerajaan dengar pandangan semua pihak, sedia jumpa PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mei – Kerajaan akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan berhubung cadangan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, terdapat pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju terhadap cadangan tersebut.

Perdana Menteri berkata, beliau juga bersedia bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendengar pandangan mereka berhubung perkara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan akan dengar pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan platform e-dagang digital BOCE Malaysia/ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, PDRM akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyampaikan bantahan terhadap hasrat untuk memberi kuasa kepada IPCMC bagi menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang dan bukan sekadar memberi syor tatatertib.

PM IPCMC
DR. MAHATHIR berucap pada majlis perasmian platform e-dagang digital BOCE Malaysia/ASEAN di PICC Putrajaya hari ini. – UTUSAN ONLINE /YULPISMAN ASLI

Mohamad Fuzi berkata, isu tersebut menarik perhatian lebih 145,000 warga PDRM sama ada yang masih atau sudah tamat berkhidmat.

Pada 13 November lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah bagi memastikan ia benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, selain bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berpendapat proses maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan diperlukan sebelum IPCMC dimuktamadkan.

Muhyiddin berkata, walaupun pihak kerajaan bersetuju untuk memperkasakan IPCMC namun perkara itu masih memerlukan pemahaman mendalam.

Pada 19 Mac lalu, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya akan menyerahkan memorandum berkaitan IPCMC kepada kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, memorandum hasil daripada perbincangan menerusi Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) itu masih dalam proses penelitian bagi memastikan ia dirangka secara menyeluruh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini