KUALA LUMPUR 24 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu mengatasi masalah lambakan mempelam harumanis.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pihaknya akan mengenal pasti inisiatif yang boleh digunakan petani dan usahawan untuk mengurangkan masalah tersebut menerusi pelbagai aspek termasuk inovasi baharu serta pemasaran.
Selain itu katanya, pihak kementerian juga akan menjalinkan kerjasama dengan pihak lain termasuk usahawan di negeri Perlis untuk mengenal pasti produk yang boleh dihasilkan daripada mempelam harumanis.
“Pendekatan dan cara pemasaran akan diberikan kepada golongan usahawan. Malah, kita mungkin boleh wujudkan penetapan harga untuk buah tersebut supaya harga tidak jatuh.
“Di samping itu, buah berkenaan mungkin boleh dihasilkan sesuatu sebagai nilai tambah.Sebagai contoh menjadikan is sebagai buah mangga kering. Jadi buah mentah boleh dipasarkan beberapa peratus dan produk lain juga begitu.Ini dapat mengelakkan adanya lambakan dan kejatuhan harga,” katanya kepada pemberita dalam majlis perasmian ‘Mood Republik KL Raya Fest 2019 ‘ di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE.
Habis///











