Hujan, mengantuk detik sebelum berperang - Utusan Malaysia

Hujan, mengantuk detik sebelum berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG BADAR SIRI 2
“SIAPA sangka niat mahu menggempur cuma 40 lelaki tetapi Allah mahu kita bertembung besi dengan 1,000 lelaki. Bagaimanalah nasib kita nanti?”

Jika mahu digambarkan, mungkin itulah desah hati para sahabat Rasulullah sebelum tercetusnya perang Badar. Sebagai manusia, perasaan gentar pasti ada dalam jiwa para sahabat.

Allah pula menjanjikan mereka pasti memenangi pertempuran terhadap satu daripada dua pihak sama ada kafilah dagang Abu Sufyan atau pasukan tentera Abu Jahal. Jika diberikan pilihan sudah pasti para sahabat akan memilih untuk menang menggempur kafilah dagang Abu Sufyan yang hanya 40 pejuang jumlah kawalannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setelah mengetahui kafilah Abu Sufyan sudah selamat lolos ke Mekah dan mereka pasti bertembung dengan pasukan jauh lebih besar, sebahagian sahabat dilanda resah. Tambahan pula jumlah tentera Muslimin yang kecil serta kelengkapan perang mereka sangat minimum.

Kisah keresahan mereka digambarkan oleh firman Allah ertinya: “Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian daripada orang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebabnya). Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu satu daripada dua angkatan (kafilah dagang Abu Sufyan atau pasukan tentera pimpinan Abu Jahal), menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan kafilah dagang) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah mahu menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-Nya, dan untuk membinasakan kaum kafir seluruhnya.” (al-Anfal: 5-7)

Setelah tahu akan bertembung dengan musuh yang ramai, Rasulullah meminta pandangan para sahabatnya orang Ansar kerana perjanjian asal mereka bersama Rasulullah adalah untuk mempertahankan baginda dalam Madinah dan bukannya di luar Madinah seperti lokasi Badar.

Pada ketika itu, para sahabat Ansar menyatakan keutuhan jiwa mereka bersama Rasulullah biar di mana pun mereka berada. Sa’ad bi Mu’adh RA selaku seorang pembesar Ansar Madinah berkata:

Ertinya: “Demi Allah, seolah-olah kamu nak tahu pandangan kami (orang Ansar) Wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Benar sekali!” Sa’ad pun menjawab: “Kami sudah beriman dan membenarkanmu. Kami juga bersaksi dengan kebenaran yang engkau bawa dan atas kebenaran itu kami berikanmu janji dan taat setia kami untuk senantiasa mendengar dan mentaatimu. Teruskanlah Wahai Rasulullah hajatmu itu kerana kami tetap akan bersamamu. Maka demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, jika kamu terpaksa meredah lautan sekalipun, sudah pasti kami akan redahinya bersamamu. Pasti tidak ada seorang pun daripada kami yang tertinggal.” (Sirah Ibn Hisyam).

Setelah mendengar keteguhan hati mereka, Rasulullah bertambah yakin untuk menghadapi Musyrikin. Ketika menghampiri medan Badar, para sahabat berjaya menawan dua pencari air bagi pihak Musyrikin Quraysh.

Ketika menyoal siasat mereka, kebijaksanaan Rasulullah terserlah apabila baginda mampu mengagak jumlah tentera Musyrikin hanya berdasarkan jumlah unta disembelih dalam sehari.

Menurut pencari air itu, pihak Musyrikin biasanya menyembelih sembilan atau 10 ekor unta sehari untuk makan. Setelah mendengar jumlah itu Rasulullah dapat mengagak jumlah mereka sekitar 900 sehingga 1,000 orang kerana biasanya seekor unta mampu menjamu kenyang 90 sehingga 100 orang lelaki dewasa. (Sirah Ibn Hisyam)

Seterusnya ketika mulai bergerak ke medan Badar, hujan turun dengan lebat sehingga memporak perandakan kedudukan musuh manakala hujan renyai di pihak Muslimin.

Dengan hujan itu para sahabat dapat mandi, minum dan menenangkan jiwa mereka. Ia menjadi bantuan awal daripada Allah untuk tentera Muslimin Islam kerana ada dalam kalangan mereka keresahan mengenangkan jumlah musuh yang ramai.

Pada malam itu juga tentera Muslim dilanda mengantuk luar biasa. Mereka tidur dengan nyenyak dan mendapat rehat yang cukup untuk pertempuran keesokan harinya.

Abdullah Ibn Mas’ud menegaskan rasa mengantuk ketika dalam perang termasuk dalam bantuan Allah (Tafsir Ibn Kathir).

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini