KUALA LUMPUR – Malaysia menempah tiket ke pentas akhir Final Siri Hoki Dunia dengan penuh dramatik selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Austria pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Tiga gol skuad negara yang menghuni ranking ke-13 dunia, membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-10.
Muhamad Marhan Mohd. Jalil yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sebentar tadi menjaringkan gol kedua buat Malaysia pada minit ke-55.
Satu lagi gol daripada Meor Muhamad Azuan Hasan pada minit ke-58 melengkapkan kemenangan dramatik skuad negara.
Austria, No. 19 dunia, pula sekadar mendapat gol tunggal perlawanan menerusi Leon Thornblom pada minit ke-32.
Skuad kendalian Roelant Oltmans itu akan berhadapan pasukan No. 10 dunia, Kanada pada aksi final malam esok. – K! ONLINE











