Harap hotel tawar harga pakej buka puasa berpatutan - Utusan Malaysia

Harap hotel tawar harga pakej buka puasa berpatutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 8 Mei – Hotel di negeri ini diminta memastikan harga yang ditawarkan untuk pakej berbuka puasa adalah berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Mejar (B), Md. Anizam Abd. Rahman berkata, sektor perhotelan sudah tentu mempunyai kadar standard yang digunakan setiap kali bulan Ramadan.

“Hotel di mana-mana pun ada kadar harga standard masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berharap harga dikenakan berpatutan untuk orang ramai dan pelancong-pelancong merasai juadah di negeri ini,” katanya selepas melancarkan Souq Ramadan di Hotel Perdana di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Hafiz Hazin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran Hotel Perdana, Nik Adura Zuliana Nik Rashid berkata, pihaknya menawarkan lebih 150 sajian berbuka puasa termasuk menu Arab, Indonesia dan Thailand.

Nik Adura Zuliana berkata, konsep Souq Ramadan yang bermaksud bazar itu menjadi identiti Hotel Perdana pada bulan Ramadan bagi menambah kemeriahan semasa berbuka puasa.

“Menu wajib kami iaitu kambing panggang sentiasa menjadi pilihan pelanggan dan tidak kurang daripada empat ekor kambing panggang disediakan setiap hari.

“Kumpulan chef yang diketuai Chef Ibrahim Abu Lasi menyediakan menu bufet yang bervariasi dan dihidangkan bergilir setiap enam hari untuk kepuasan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, antara menu yang sentiasa menjadi tarikan adalah masakan kawah seperti kari kambing ‘gear box’ dan gulai ayam kampung dengan nangka manakala menu baharu yang diperkenalkan tahun ini adalah kebab dan nasi arab yang dimasak secara stim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini