Hamilton muncul juara GP Sepanyol  - Utusan Malaysia

Hamilton muncul juara GP Sepanyol 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA – Pasukan Mercedes seakan-akan tiada pencabar dalam perebutan gelaran musim ini selepas pasukan tersebut terus mendominasi perlumbaan Formula Satu (F1) apabila meraih kemenangan 1-2 buat kali kelima berturut-turut pada Grand Prix (GP) Sepanyol sebentar tadi.

Pada perlumbaan tersebut, Lewis Hamilton yang bermula di petak kedua memulakan saingan dengan begitu baik apabila muncul juara dengan menamatkan perlumbaan dengan catatan 1:35:50.443 saat.

Lebih manis, rakan sepasukannya, Valtteri Bottas menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelumba Red Bull, Max Verstappen yang memulakan perlumbaan di petak ketiga pula tidak membuka ruang kepada pasukan Ferrari untuk merampas kedudukan tersebut apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga sekali gus memaksa Sebastian Vettel (Ferrari) berpuas hati di tempat keempat manakala Charles Leclerc di kedudukan kelima.

“Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa bekerja keras menyediakan jentera terbaik kepada kami sepanjang minggu ini. 

“Kemenangan buat kali kelima berturut-turut satu keputusan yang sangat luar biasa dan kami mencatat sejarah bermakna. Saya gembira dengan apa yang kami capai ketika ini,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Hasil kemenangan tersebut, Hamilton kembali menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 112 mata selepas meraih satu mata tambahan apabila mencatat masa terpantas. Kini, Hamilton selesa dengan kelebihan tujuh mata di hadapan berbanding Bottas yang mengumpul 105 mata.

Sementara itu, Verstappen mengakui sukar untuk mengatasi Mercedes dan akur hanya mampu mengejar penamat tempat ketiga pada GP Sepanyol.

“Jentera Mercedes sangat laju tetapi kami juga tampil kompetitif pada perlumbaan tersebut. Saya bangga mampu menaiki podium pada perlumbaan ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini