BARCELONA 10 Mei – Lewis Hamilton bakal turun beraksi pada Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini dengan rekod hatrik menantinya di perlumbaan kereta Formula Satu (F1) pertama di Eropah musim ini.
Selepas dua tahun berturut-turut mengungguli saingan di Litar de Catalunya itu, pelumba pasukan Mercedes ini dilihat berada di landasan terbaik untuk melakukannya berdasarkan prestasi jentera yang dimiliki ketika ini.
Bersama rakan sepasukan, Valtteri Bottas, mereka saling menguasai kedudukan 1-2 silih berganti dalam empat perlumbaan awal musim ini iaitu di GP Australia, Bahrain, China dan Azerbaijan.
Dengan GP Sepanyol adalah gelanggang keramat buat Hamilton, hanya pelumba Ferrari diramal ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff akan menjadi ancaman kepadanya untuk mencipta kejuaraan hatrik kali ini di sini.
“Pencapaian Mercedes sebelum ini memberi gambaran meyakinkan tetapi sebenarnya ia sekadar pujian sahaja. Pencabar kami (Ferrari) kini semakin meningkat prestasi mereka dan ia sesuatu yang perlu dibimbangkan.
“Ujian pra musim Ferrari di sini membuktikan mereka cukup pantas, jadi GP Sepanyol bukan mudah buat kami,” kata Wolff sambil menolak dakwaan Sebastian Vettel bahawa pasukan Ferrari kini bukan lagi pilihan untuk memenanginya.
Ketika ini selepas empat perlumbaan, Bottas mendahului kedudukan keseluruhan pelumba dengan 87 mata diikuti Hamilton, 86 dan Vettel, 52. – AFP











