LONDON 13 Mei – Pep Guardiola menggesa Manchester City untuk menamatkan musim ini dengan kejuaraan trebel domestik selepas kejayaan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menundukkan Brighton 4-1 di Stadium Amex.
Dalam perlawanan itu, City ketinggalan selepas Glenn Murray membuka tirai jaringan dengan mereka memerlukan kemenangan untuk menamatkan saingan di hadapan Liverpool.
Sergio Aguero membuktikan kecemerlangannya apabila berjaya menyamakan kedudukan sebelum Aymeric Laporte, Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan masing-masing menjaringkan gol buat The Citizens.
Selepas meraih kejuaraan Piala EFL, City akan berdepan aksi final Piala FA menentang Watford, hujung minggu hadapan dan menyedari bahawa masih belum ada mana-mana pasukan pernah merangkul ketiga-tiga kejuaraan dalam satu musim.
“Tiada mana-mana pasukan di England berjaya melakukannya. Kami ada peluang. Jadi kami perlu fokus kepada perlawanan ini.
“Piala FA bukan sesuatu yang mudah diraih atau mudah untuk ke final. Kami akan beraksi di venue teragung iaitu Stadium Wembley untuk menjuarainya,” kata Guardiola.-AGENSI











