KUALA LUMPUR 31 Mei – Kenyataan Lim Guan Eng bahawa penyenaraian Malaysia dalam senarai pemantauan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara manipulator mata wang merupakan suatu perkembangan positif menunjukkan Menteri Kewangan itu tidak memahami selok-belok ekonomi.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dalam satu kenyataan berkata, jabatannya mengambil apa-apa potensi kadar pertukaran yang tidak adil dengan serius dan akan menilai lebih banyak rakan dagang AS untuk memastikan kadar pertukaran yang lebih adil dan lebih telus.
“Oleh itu, kerajaan perlu ambil serius negara kita telah ditambah ke dalam senarai manipulasi mata wang, untuk mengelakkan kesan negatif terhadap perdagangan Malaysia-AS.
“Jika seseorang pergi ke hospital untuk pemeriksaan badan dan doktor meminta orang itu dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut, apakah itu bermakna bahawa orang itu sangat sihat dan kuat?
“Saya ingin menggesa Guan Eng untuk melakukan perkara yang lebih praktikal, bukan sewenang-wenangnya menarik keyakinan orang ramai dengan memberi gambaran palsu kononnya ekonomi dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











