KUALA LUMPUR – Pelimba muda negara, Weiron Tan meneruskan rentak cemerlang pada Pusingan 2 perlumbaan Cabaran GT Dunia Blancpain siri Asia yang berlangsung di Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand yang berakhir hari ini.
Weiron dan rakan sepasukan Audi Sport Asia Team Absolute Racing, Martin Rump meraih tempat ketiga dalam kelas GT3S dan ketiga keseluruhan untuk kategori disertai pada Perlumbaan 1 di sini, semalam.
Menggunakan jentera Audi R8 LMS GT3 Evo, gandingan mantap itu melengkapkan 37 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan 1 jam 01 minit 09.425 saat (s) dengan catatan sepusingan terbaik adalah di pusingan ke-23, 1:35.370s. Bagaimanapun momentum positif itu tidak dapat diteruskan pada Perlumbaan 2 yang berlangsung hari ini.
Rump memulakan perlumbaan dari grid keenam dilihat mampu untuk mencari penamat di podium namun terpaksa melupakan saingan selepas dilanggar pemandu lain hanya selepas perlumbaan bermula.
“Saya sangat gembira apabila meraih podium pertama keseluruhan (kategori) bersama Audi Sport Asia Team absolute dalam saingan ini. Terima kasih kepada krew Absolute Racing kerana sentiasa berusaha gigih dan memberi sokongan kepada Audi Sport Asia dan penaja saya di Malaysia.
“Malangnya Perlumbaan 2 tidak berlangsung seperti dirancang, rakan sepasukan saya memulakan saingan dari petak keenam dan dilanggar (jentera) No 911 Porsche hanya selepas lampu hijau menyala. Kami mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang dan ini memaksa kami untuk tidak meneruskan perlumbaan.
“Secara keseluruhan, minggu yang positif walaupun tidak bernasib baik pada Perlumbaan 2, banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya berharap kami dapat meneruskan peningkatan sebagai sebuah pasukan sebelum pusingan seterusnya berlangsung di Suzuka, Jepun selepas ini,” katanya.
Selepas dua pusingan musim 201o, Weiron, 24, kini sudah mengumpul 27 mata dalam kedudukan keseluruhan pemandu. Suzuka akan menjadi tuan rumah bagi pusingan seterusnya pada 23 dan 23 Jun ini. – K! ONLINE











