KUALA LUMPUR 31 Mei – Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini membuat laporan polis berhubung video tular yang mendakwa kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim sebagai konspirasi terancang kerajaan melalui peguam negara.
Pengerusinya, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tuduhan yang dibuat oleh pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya itu boleh menjejaskan perjalanan inkues Muhammad Adib.
Beliau meminta supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap posting video berkenaan.
Berita berkaitan:
“Fitnah jahat tuduhan konspirasi berkenaan tidak akan diterima oleh rakyat terutamanya keluarga arwah Muhammad Adib,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.
Isnin lepas, Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu yang mencetuskan pelbagai spekulasi serta persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu, dan selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – BERNAMA











