Jika benar syaitan dirantai, mengapakah masih ada kejadian gangguan makhluk halus dalam bulan Ramadan?
Jawapan: Pertanyaan ini mungkin berpunca daripada hadis Rasulullah bersabda, bermaksud:
“Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” – Riwayat Bukhari
PENDAPAT ULAMA
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani
- Berdasarkan sebahagian pandangan ulama, yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini adalah merujuk kepada sebahagiannya iaitu jin yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan).
Ibnu Khuzaimah
- Menukilkan satu bab dalam kitab sahihnya berhubung hadis berkaitan gangguan jin ketika Ramadan dengan menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan periwayat hadis lain iaitu Tirmizi, Nasaa’i, Ibnu Majah, dan Hakim.
- Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW: “Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).”
- Ia bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian daripada mereka.
Syeikh Anwar al-Kashmiri
- Beliau menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmizi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.”
Imam Qurtubi
- Sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, bermaksud:
“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adabnya.
- Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja iaitu yang ganas dalam kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.
- Atau yang dimaksudkan adalah, “berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadan. Ini merupakan perkara yang dapat dirasakan di mana kejahatan ketika bulan Ramadan lebih sedikit berbanding bulan-bulan selainnya.”
KESIMPULAN
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan, ia lebih cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:
- Hanya sebahagian syaitan yang dibelenggu iaitu besar atau ganas manakala selebihnya masih ada.
- Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang beriman berbanding bulan lain.
- Gangguan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan seperti amalan puasa itu sendiri, membaca al-Quran dan berzikir.
Ibn Hajar al-‘Asqalani Hulaimi menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna syaitan tidak dapat sampai memberi ujian atau godaan kepada umat Islam seperti mana bulan selain Ramadan.
Ini disebabkan umat Islam sibuk berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.
Dalam masa sama, kami juga mencadangkan kepada mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini untuk merujuk juga kepada pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata.
- Sumber http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas











